krisis makanan-teknologi sbgai penyelesai masalah.

Krisis makanan ancaman dunia
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD.
ashriq.ahmad@utusan.com.my
SEJAK jutaan tahun dahulu dunia diciptakan Tuhan dengan iklimnya sentiasa
berubah mengikut caturan serta putaran cuaca sebagai mana kehendak-Nya.
Jika dahulu semasa zaman prasejarah (dinosaur) kehidupan bumi diliputi hutan
tropika, sesetengah tempat diliputi ais, beku serta sejuk.
Perubahan demi perubahan iklim berlaku sehingga haiwan-haiwan pra sejarah
tersebut kini telah bertukar menjadi fosil namun arus perubahan tersebut tidak
pernah terhenti pada titik tertentu.
Kini, kita sekali lagi merasakan perubahan iklim tersebut di mana saintis mendapati
suhu di bumi semakin meningkat secara mendadak saban tahun.
Sesetengah saintis berpendapat perubahan iklim merupakan aturan bumi atau lebih
tepat ia bersifat semulajadi, namun sebahagian pula mengatakan ia akibat
kerakusan aktiviti manusia itu sendiri.
Bagaimanapun, ia terus menjadi perdebatan hangat yang tidak berkesudahan di
kalangan mereka.
Bagi sesetengah pihak pula mendakwa kenaikan suhu bumi secara mendadak
bermula sejak era revolusi perindustrian yang berlaku di seluruh dunia beberapa
abad terdahulu.
Maka, teori yang paling tepat adalah aktiviti manusia itu sendiri telah mendorong
ke arah perubahan iklim yang sangat pantas berlaku terhadap bumi kini.
Mengapa? Perhatikan, sehingga kini perkembangan sektor perindustrian
menyumbang kepada pelepasan gas karbon dioksida (CO2) secara berleluasa
menjadikan hampir keseluruhan bumi kini dilitupi gas tersebut.
Hal demikian menyebabkan hawa panas daripada sinaran mentari yang diterima
bumi tidak dapat dipantulkan semula ke angkasa lepas kerana terperangkap dalam
litupan gas yang mengelilingi bumi.
Maka wujud fenomena menggerunkan menyelubungi saintis dunia yang dikenali
sebagai kesan rumah hijau.
Apakah kesan rumah hijau? Bayangkan anda sedang berada di dalam sebuah balang
kaca yang sedang dipancarkan dengan sinaran matahari terik tanpa ada sebarang
pelindungan, apakah yang akan terjadi?
Pastinya anda akan kepanasan, sesak nafas, berpeluh dan mungkin mengakibatkan
berlakunya penyahidratan dan akhirnya pengsan.
Kejadian musim kemarau bertambah panjang menyebabkan sesetengah tempat
berubah menjadi gurun dan tidak lagi sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian.
Jadi apakah kaitan situasi perubahan iklim ini terhadap stok makanan dunia?
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keselamatan Makanan (CEFSR), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Jinap Selamat, perubahan iklim mampu
meningkatkan bencana alam kepada tahap yang tidak dapat dijangka.
"Perubahan iklim bukan berkenaan kenaikan suhu dunia sahaja, ia termasuk
perubahan sistem ribut yang lebih kuat, kemarau yang panjang, serta peningkatan
aras laut yang melampau.
"Apa yang lebih membimbangkan adalah, perubahan ini mempengaruhi
pengeluaran makanan, jaminan makanan serta keselamatan makanan untuk
manusia itu sendiri," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.
Jelas Jinap, terminologi tersebut kadang kala digunakan khusus merujuk kepada
perubahan iklim yang disebabkan aktiviti manusia.
Malah, ujar beliau, Malaysia juga mencatatkan kenaikan suhu antara 0.5 hingga 1.5
darjah celsius dalam masa 40 tahun kebelakangan ini dan kenaikan tersebut terus
meningkat tanpa ada tanda-tanda akan kembali menurun.
Lebih mencemaskan, peningkatan suhu dunia secara mendadak mampu
mempengaruhi sifat, taburan dan kelaziman patogen dan juga pencemaran kimia
dalam bekalan makanan.
Hal demikian kerana kehadiran patogen seperti bakteria, kulat, parasit, virus, kimia
(mikotoksin), antibiotik serta dadah veterinar dalam makanan tidak mampu lagi
disekat kerana ia mampu menjadi rintang terhadap sebarang pencegahan apabila
suhu meningkat naik.

Krisis Makanan Dunia: Bagaimana Untuk Mengatasinya?


SEMUA manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan. Tidak dapat dinafikan makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.
Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi.
Kenaikan harga pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun-tahun mendatang.
Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.
Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan juga antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan atau kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya.
Menurut Program Bahan Makanan dan Pertanian PBB, masyarakat antarabangsa perlu menubuhkan rizab antarabangsa untuk menstabilkan harga bahan makanan. Rizab itu juga perlu ditubuhkan di pelbagai negara dan kawasan untuk menyediakan bahan makanan kepada penduduk yang hidup susah ketika berlakunya krisis. Selain itu, pelbagai negara khususnya negara-negara membangun perlu meningkatkan peruntukan dalam bidang pertanian. 98% penduduk yang menderita kelaparan adalah dari negara-negara membangun.
Untuk mengatasi krisis makanan dunia ini, negara-negara pertanian boleh memainkan peranannya. Antara kaedah bagi mengatasi krisis ini ialah pertama, kawasan tanaman mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan. Contohnya seperti yang dilaksanakan di Malaysia di mana negeri Sabah dan Sarawak telah dijadikan negeri pertanian bagi menambahkan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan tanah bukit juga boleh digunakan untuk penanaman andainya mengikut teknologi yang sesuai seperti sistem pengairan moden, baja, teknik tanaman dan sebagainya.

Ulasan