MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
KUALA LUMPUR 7 Julai - Mesyuarat Majlis Sosial Negara merupakan platform terbaik untuk membincangkan pelbagai isu sosial termasuk masalah buli dan dera yang melibatkan golongan pelajar serta remaja.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mesyuarat tersebut boleh membantu mencari punca kepada gejala buli dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru.
“MCPF menyambut baik saranan kes buli dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada hujung bulan ini.
“Majlis Sosial Negara yang dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijangka dapat mencari penyelesaian konkrit kepada gejala buli,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara yang akan datang,
Dalam pada itu, Lam Thye menyatakan bahawa Majlis Sosial Negara perlu mengenal pasti punca jika disebabkan oleh kemahiran keibubapaan yang lemah, sistem pendidikan moral tidak kuat atau pengaruh buruk daripada kegiatan gengsterisme.
Jelas beliau, selepas dikenal pasti punca bagi setiap masalah tersebut, Majlis Sosial Negara perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya sehingga ke peringkat akar umbi.
“Sebagai contoh, jika disebabkan oleh kelemahan kemahiran keibubapaan, kementerian berkaitan boleh melancarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran kepada golongan ibu bapa supaya mereka mampu mendidik anak-anak dengan kaedah terbaik.
“Jika disebabkan oleh sistem pendidikan moral yang tidak berada di landasan betul, maka pihak terbabit perlu merombak semula sukatan pelajaran dan pendekatan yang digunakan supaya lebih berkesan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan dengan berkesan dan menyeluruh bagi memastikan gejala buli dapat diatasi dalam jangka panjang. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/majlis-sosial-negara-platform-terbaik-bincang-isu-buli-1.500111#ixzz4qb4xvaM2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Bendung masalah sosial
Share
0
Kadar kehamilan tidak terancang yang tinggi dalam kalangan remaja nyata membimbangkan banyak pihak kerana ia jelas menandakan golongan itu kekurangan maklumat terhadap pendidikan seksual dan reproduktif.
Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seksual dan reproduktif untuk remaja ini sangat penting bagi membantu mereka memiliki personaliti yang baik sekali gus mengelak daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial.
Menyedari hakikat itu, Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menganjurkan Seminar Cinta Ketika Usia Muda: Salahkah Saya (CKUM) 2016, di Dewan Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Seramai 250 pelajar sekolah menengah mewakili lapan sekolah dari seluruh Negeri Sembilan menyertai seminar berkenaan yang bertujuan memberi kefahaman dan meningkatkan kesedaran remaja terhadap pendidikan seksual.
Antara inti pati seminar itu ialah kesihatan seksual dan reproduktif, pendekatan Islam terhadap cinta, menjauhi zina dan motivasi hala tuju hidup.
Pengarah JKNS Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, statistik di bawah Sistem Dokumentasi Remaja Hamil Kesihatan Keluarga JKNS merekodkan 580 kes remaja hamil membabitkan usia antara 10 hingga 19 tahun dari 2014 hingga 2015.
“Manakala bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini pula 303 kes direkodkan dengan daerah Seremban mencatatkan kes tertinggi didaftarkan iaitu 166 kes atau 54.8 peratus.
“Bagi masalah HIV di Negeri Sembilan pula, terdapat peningkatan pengidap HIV dalam kalangan umur antara 13 hingga 19 tahun iaitu tiga kes pada 2015 kepada enam kes sehingga September tahun ini, dengan jumlah keseluruhan penghidap HIV kategori itu bagi tempoh berkenaan ialah 37 kes.
“Situasi ini sememangnya membimbangkan dan ia memerlukan komitmen tinggi semua pihak untuk memainkan peranan penting bagi membendung gejala itu daripada terus meningkat pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perlakuan seksual dalam kalangan remaja, menunjukkan 8.3 peratus pelajar pernah mengadakan hubungan seksual.
Menurutnya, berpandukan kajian WHO juga mendapati 50.4 peratus remaja pernah mengadakan hubungan seksual yang pertama kali sebelum usia 14 tahun dan 32.2 peratus menggunakan kondom ketika kali terakhir mengadakan hubungan berkenaan.
“Situasi itu jelas menunjukkan remaja ketika ini terdedah dengan hubungan seksual ketika zaman persekolahan, sesuatu yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak,” katanya.
Dr Abdul Rahim berkata, melihat senario itu, pendidikan kesihatan dan seksual amat penting dalam memperkasakan remaja.
“Justeru, seminar seperti ini diharap dapat membantu pelajar dan golongan muda mendapatkan pendedahan serta maklumat mengenai pendidikan seksual dan kesihatan mereka.
“Ia perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai remaja diberikan pendedahan agar kita dapat membendung permasalahan sosial ini,” katanya.
Timbalan Pengarah JPNS Pkharuddin Ghazali berkata, masalah gejala sosial membabitkan pelajar sememangnya sentiasa diberikan keutamaan kerana ia bukan saja akan menjejaskan masa depan mereka malah terhadap institusi pendidikan itu sendiri.
Pihaknya menyediakan pelbagai program remaja berpaksikan keperluan untuk melahirkan individu berpengetahuan dan bersikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif serta sosial.
“Kita sedar pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ini penting supaya pelajar mendapat kefahaman mengenainya dan membimbing supaya mereka tidak melakukan kesilapan besar ini apabila bercinta.
“JPNS berharap usaha seperti ini dapat membendung masalah sosial yang dikaitkan dengan remaja seperti mengadakan hubungan terlarang, mengandung anak luar nikah, buang bayi dan terjebak dalam penagihan dadah,” katanya.
Peserta, Muhamad Iqmal Daniel, 14, berkata, penyertaannya dalam seminar memberi banyak manfaat terutama dari aspek dalam menjalinkan hubungan dengan rakan sebaya.
“Remaja perlu berhati-hati dalam memilih rakan sebaya dan pastikan hubungan antara mereka lebih kepada kepentingan masa depan.
“Seminar ini dapat menyedarkan saya mengenai batas pergaulan dengan rakan sebaya perempuan selain meningkatkan lagi jati diri. Ia amat baik dan banyak ilmu yang saya dapat,” katanya yang juga pelajar SMK Seremban 2.
Muhamad Hakeem Abd Rahim, 14, dari Sekolah Tinggi Port Dickson berkata, seminar itu membantunya lebih memahami mengenai pendidikan seksual dan reproduktif.
“Pendidikan seksual dan reproduktif ini penting kerana ia dapat memandu kita menjadi insan yang sihat dan sentiasa berfikiran positif.
“Remaja perlu mengawal diri dan tidak boleh sesuka hati menjalinkan hubungan dengan gadis sebaya kerana ia boleh mengundang keterlanjuran. Sebagai lelaki yang akan menjadi ketua keluarga satu hari nanti, ilmu ini sangat penting.
“Berkawan tidak salah tetapi ia harus berpandukan kepada syariat supaya kita tidak terjebak dalam kancah maksiat, yang akhirnya memberi kesan kepada masa depan,” katanya.
Nur Darwisyali Mizman, 14, dari SMK Bukit Kepayang Seremban juga sedar kesilapan memilih kawan boleh mengundang padah.
Katanya, remaja seusianya perlu memilih kawan yang boleh membantu dalam pelajaran dan bukannya teman istimewa yang akhirnya mengundang kerosakan.
“Seminar ini mengingatkan saya pentingnya menjaga pergaulan, maruah dan nama keluarga,” katanya. – Mohd Amin Jalil
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 4:49 AM
Gejala sosial dalam kalangan remaja
MUHAMMAD SAMIL MISRAN | 02 Februari 2016.
GEJALA sosial merupakan satu amalan tidak sihat yang sering dikaitkan dengan remaja pada masa kini. Gejala atau masalah yang ketara yang dapat kita lihat dalam masyarakat kita pada hari ini adalah seperti masalah atau gejala samseng atau gangsterisme, seks bebas, pembuangan bayi, merempit atau lumba haram, penyalahgunaan dadah, minum arak dan ponteng sekolah.
Gejala-gejala seperti ini dapat mendorong seseorang remaja terjebak ke lembah yang boleh merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Seringkali kita dengar berbagai-bagai berita buruk yang sering disiarkan dikaca-kaca televisyen, di corong-corong radio mengenai masalah ini terutamanya kes pembuangan bayi, kes gangster (buli), dadah, ponteng sekolah dan lain-lain lagi.
Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Pada zaman remaja, seseorang individu sudah semestinya ingin mencuba pelbagai benda dalam kehidupan mereka.
Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara tanpa berfikir panjang terlebih dahulu. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke lembah gejala sosial yang tidak sihat ini.
Jika kita teliti dengan mendalam terdapat banyak punca kenapa golongan remaja mudah terjebak dalam kancah gejala sosial. Antara punca-punca berlakunya masalah ini adalah kurangnya didikan agama dalam keluarga, ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan harian mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa terhadap anak-anak.
Selain itu, berpunca daripada pergaulan bebas, kurangnya kasih sayang ibu bapa dan sebagainya. Hal ini, menyebabkan remaja sekarang terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa berfikir terlebih dahulu sama ada perkara yang dilakukan itu baik ataupun buruk.
Oleh itu, masalah ini haruslah dibendung daripada sekarang agar tidak menyesal dikemudian hari terutamanya ibu bapa. Ibu bapa perlulah meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak di rumah, memberikan perhatian yang penuh kepada anak-anak agar mereka lebih berasa disayangi.
Selain itu, pendidikan agama juga haruslah ditekankan dalam hidup anak-anak supaya mereka berakhlak mulia dan tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Oleh itu, masalah ini perlu dikawal sejak dari rumah dan perlu diterapkan sejak kecil lagi agar dapat melahirkan generasi yang elok perangai dan akhlaknya pada masa hadapan bak mengikut peribahasa Melayu iaitu “sediakan payung sebelum hujan”.
Kurangnya Nilai atau Pendididikan Agama
Kurangnya nilai dan pegangan agama yang kukuh maka tidak mustahillah iman seseorang itu akan goyah terutamanya insan yang baru hendak mengenal selok-belok kehidupan di dunia ini yang penuh dengan segala cabaran dan dugaan hidup.
Ajaran agama perlulah diterapkan sejak dari rumah lagi. Ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan ajaran agama yang sempurna untuk membentuk akhlak anak-anak supaya lebih baik dan dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial yang serba mencabar ini. Pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri remaja sejak kecil lagi.
Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup dalam menerangi kegelapan. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana atau hukuman setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang Islam.
Jika panduan agama ini dijadikan satu pegangan yang kukuh dalam diri maka, secara tidak langsung gejala sosial tidak akan wujud dalam negara dan ia dapat dibendung dengan baik sekali.
Hal ini tidak hanya berfokuskan kepada penganut agama Islam sahaja, agama-agama lain juga seperti agama hindu, buddha, kristian dan lain-lain mencegah sekeras-kerasnya penganut mereka melakukan perkara-perkara yang tidak baik yang boleh menimbulkan kerumitan dalam hidup.
Sekiranya ajaran atau didikan agama yang sempurna maka, hidup manusia dalam keluarga, masyarakat dan negara akan aman dan bebas daripada segala gejala sosial yang timbul seperti lumba haram, dadah, bergaduh dan sebagainya.
Ibu Bapa Yang Terlalu Sibuk
Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan tugas masing-masing merupakan salah satu punca berlakunya gejala sosial ini. Majoriti pada zaman sekarang ibu bapa boleh dikatakan 80% bekerja kedua-duanya sehinggakan kualiti masa untuk bersama dengan anak-anak di rumah tiada, menyebabkan kehidupan seharian anak-anak terabai dan secara tidak langsung nilai kasih sayang juga berkurangan.
Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu peranan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah.
Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Tetapi dunia hari ini, disebabkan kesibukkan itu ibu bapa semakin merasakan berada di zon selesa.
Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa merupakan insan yang paling terdekat dengan anak-anak atau remaja. Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa dengan anak remaja mereka di rumah. Menerapkan nilai-nilai kasih sayang yang mencukupi serta ajaran atau didikan agama yang sempuran untuk membentuk keperibadian yang sempurna dan mulia.
Selain itu juga, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah menjadi rakan kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah.
Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
Selain itu, ibu bapa juga perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan.
Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka harus sedar bahawa doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak dan juga ia membawa keberkatan dalam hidup seharian.
Peranan sekolah
Peranan pihak sekolah terutamanya guru-guru merupakan satu langkah yang perlu diambil serius. Guru-guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya.
Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai pemerintah dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran. Oleh itu, guru perlulah pandai mengambil hati murid-murid mereka juga agar suasana yang sihat dapat diwujudkan.
Kesan Ke atas Individu
Kesan ke atas individu itu sendiri iaitu remaja yang terlibat. Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ia terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya.
Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling.
Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyakan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan negara.
Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu sehingga boleh membawa kepada kerosakkan diri sendiri akibat daripada tindakan bodoh yang dilakukan itu.
Kesan Kepada Keluarga
Seterusnya, kesan kepada keluarga. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu.
Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kita semua haruslah bertindak dengan lebih pantas dan tuntas dalam menangani masalah gejala sosial ini agar tidak terus merebak menjadi lebih parah lagi. Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.
Dengan kata lain, walauapapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi. Seseorang individu (remaja) mestilah memikirkan terlebih dahulu apa yang hendak dilakukan dan kesan yang bakal mereka hadapi agar tidak menyesal dikemudian hari.
Masalah sosial haruslah dipandang serius oleh semua pihak kerana para remaja merupakan aset yang penting untuk pembangunan negara pada masa yang akan datang. Justeru, semua pihak mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab untuk menangani masalah sosial supaya para remaja tidak terjerumus dalam gejala sosial tersebut.
Sekirannya negara bebas daripada segala gejala sosial ini maka, negara dapat melahirkan generasi yang bersih daripada segala masalah dan generasi yang dilahirkan ini dapat menerajui negara kita ke arah Wawasan 2020 serta dapat membentuk sebuah negara yang aman, damai dan harmoni.
Selain itu, kehidupan seharian dapat dijalankan tanpa ada sedikit perasaan risau atau bimbang dengan masalah-masalah yang akan berlaku. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu tanpa menunding jari kepada satu pihak sahaja untuk menangani masalah gejala sosial ini. Muafakat bersama akhirnya akan membawa berkat dalam kehidupan kita. – HARAKAHDAILY 2/2/2016
MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA: PUNCA DAN PENYELESAIAN
Pengenalan
Belakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama.
Pengertian masalah sosial remaja
Secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah.Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.
Statistik Gejala Sosial Remaja
Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.
Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).
Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.
Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).
Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).
Punca Keruntuhan Akhlak
Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;
1. Salah satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik.
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.
2. Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
3. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.
Cara Mengatasi Masalah
Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Berikut beberapa saranan:
1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role modelkepada anak.
2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin.
4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”
Kesimpulan
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.
Masalah Sosial di Kalangan Remaja Kini Makin Meruncing
Pengenalan
Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.
Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Dalam tahun 1995 ,1,895 kes melibatkan Juvana. Daripada jumlah itu 406 kes curi kenderaan atau (21.42 peratus), lain-lain kecurian 451 kes (23.80%), pecah rumah malam hari 324 kes (17.10%), curi dalam bangunan/orang gaji 277 kes (14.62%), mendatangkan kecederaan 154 kes (8.13%), pecah rumah siang hari 148 kes (7.81%), rogol 70 kes (3.70%) dan samun 58 kes (3.06%). Perangkaan-perangkaan yang menggerunkan ini menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini.
Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.
Perkembangan akhlak seseorang boleh dibahagikan kepad tiga tahap :
a) Tahap awal kanak-kanak
b) Tahap pertengahan dan akhir kanak-kanak
c) Tahap baligh dan remaja
Peringkat pertama
Dalam peringkat ini kanak-kanak mula membentuk keyakinan kepada persekitarannya. Proses ini amat bergantung kepada belaian ibu yang berterusan di mana ibu memenuhi keperluan emosi dan fisiologinya. Hubungan ibu dan anak dalam peringkat ini perlulah dijaga dan perkukuhkan sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan kepada lingkungan dan alam sekitarnya. Anak-anak yang tidak memperolehi perhatian serta kasih sayang ibu dalam tahap ini perkembangan emosional dan fizikalnya mungkin akan terbantut. Anak tersebut kelihatan lebih kecil dari umurnya yang sebenar.
Dalam peringkat 18 bulan hingga 3 tahun kanak-kanak mula beralih daripada bersandarkan kepada ibu semata-mata. Kanak-kanak mula membentuk keperibadiannya tersendiri, di mana ia bertarung untuk memastikan pilihannya sendiri. Dalam peringkat ini ibu wajar memberikan penuh perhatian. Kegagalan kanak-kanak tersebut dalam merealisasikan kemandiriannya menyebabkannya ia akan ragu terhadap dirinya serta kurang yakin dengan kemampuannya sekaligus mengakibatkan berkurangnya keyakinan kepada orang lain. Anak-anak akan bersifat malu dan merasa serba kekurangan.
Keupayaan anak-anak untuk mandiri serta merasakan kewujudan dirinya yang tersendiri cukup penting dalam peringkat ini. Dalam tahap inilah berkembangnya sifat-sifat personal seperti sayang, benci, ego serta kebebasan untuk mengungkap perasaan. Dalam peringkat umur 3 hingga 6 tahun kanak-kanak tersebut terus mengembangkan kemandirian dengan kegiatan yang lebih meluas; di mana mereka lebih aktif bergerak, mempunyai tahap prihatin yang lebih tinggi, banyak bertanya dan bercakap. Ibu bapa dan pengasuh wajar mengarahkan kanak-kanak dengan bijak agar mereka memperoleh kemahiran-kemahiran mengatur dan menyusun sesuatu sehingga kanak-kanak berjaya melaksanakannya. Layanan yang kasar serta kekerasan yang berlebihan boleh menjejaskan jiwa, mental dan fizikal kanak-kanak.
Ibu bapa tidak wajar menganggap kanak-kanak pada peringkat ini seperti orang tua dalam erti kata meletakkan tanggungjawab moral dan akhlak terhadap perbuatan dan reaksinya kerana kanak-kanak masih belum mampu membezakan dengan tepat dan memahami sesuatu. Mereka hendaklah dikasihi, diperlakukan secara lemah lembut dan sikap toleransi. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menunjukkan sifat-sifat yang demikian. Abu Qatabah meriwayatkan pada suatu hari Nabi keluar menemui kami. Beliau mendokong Umamah Abu 'Asr. Beliau bersembahyang sambil mendokong Umamah, apabila Baginda ruku', beliau meletakkan dan apabila ia bangun ia dukung semula Umamah. Hadis ini membayangkan betapa kasihnya Rasulullah kepada cucunya.Beliau tidak memperlakukannya sebagai manusia yang mengerti segala-galanya.Beliau membenarkan anak tersebut bersamanya ketika sembahyang walhal sembahyang itu adalah ibadah yang suci dalam Islam.
Peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak
Dalam peringkat ini kanak-kanak mula memperluas arena hubungan sosial dan pergaulannya dengan orang lain yang sekampung atau sesekolah atau juga rakan sebaya dengannya. Kanak-kanak mula menyesuaikan diri dengan situasi dan kondisi baru dalam hidupnya. Ia mula membezakan perbuatan dan jenis-jenis tindak tanduk yang disukai oleh orang lain atau sebaliknya. Ia gembira jika orang lain puas dengan perbuatannya. Sebaliknya ia kecewa, menyesal jika orang lain marah kepadanya. Ini adalah permulaannya yang betul bagi proses pembentukan akhlak yang luhur.
Perkembangan akhlak yang positif ini menyebabkan kanak-kanak selalu berusaha untuk menyelaraskan antara kehendak dirinya dengan kehendak orang lain. Antara kecenderungan dan motivasi dengan nilai agama, akhlak, tradisi, guru, peraturan dan undang-undang. Dalam peringkat ini terteralah kesedaran tentang tanggungjawab akhlak dalam diri kanak-kanak sehingga ia mencapai tahap perkembangan akhlak yang ke-3. Dalam peringkat ini ibu bapa dan guru perlu perihatin kepada kecendurangan ini dan amat perlu diarahkan secara yang bijaksana sehingga kanak-kanak dapat memperolehi model yang utama (role model) di samping mengembangkan kearah nilai-nilai kebaikan.
Peringkat yang ketiga iaitu peringkat baligh dan remaja
Perkembangan akhlak pada masa ini mula berakar dan mantap. Fizikal kanak-kanak mula berkembang dan membesar. Perkembangan ini diikuti oleh perkembangan sosioemosinya di mana anak tersebut mula memperolehi keperibadiannya yang unik. Ia mula merasakan 'sense of belonging' kepada kelompok yang lebih besar. Peringkat ini adalah peringkat yang amat komplikated (rumit) dan ia disertai oleh pengalaman-pengelaman baru serta peranan dan peluang-peluang yang baru. Menyerlahnya dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungannya dengan orang lain. Keupayaan fizikalnya semakin kukuh dan mencapah. Tanggungjawab persekolahan ikut bertambah, disiplin hidupnya mula terbentuk.
Kanak-kanak mula berubah menjadi manusia yang berupaya mengawal kehendak nalurinya. Ia mula menundukkan diri kepada contoh utama yang telah terserap jauh dalam batinnya. Ia menjadikan contoh utama tersebut sebagai kriteria dalam tingkah laku dan situasi yang bersifat moral. Ia akan beriltizam dengan saranan-saranan dan contoh yang ditunjukkan sama ada wujud dalam bentuk undang-undang, sistem, adat dan budaya sosial atau ketiadaannya.
Kesempurnaan perkembangan akhlak berkaitan dengan kesempurnaan perkembangan akal, kejiwaan dan sosial. Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kalian menjadi pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan."
Pembentukan Akhlak Remaja Islam
Pembentukan akhlak di dalam Islam dimulai dengan pengukuhan akidah melalui ikrar bahawa tidak ada Tuhan sebenarnya yang disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Bagi kanak-kanak yang baru lahir pendedahan ini dimula dengan azan dan iqamat. Dalam peringkat berikutnya kanak-kanak dilatih dengan budaya hidup beragama Islam oleh ibu bapanya . Apabila lidah anak-anak sudah boleh bertutur mereka dilatih menyebut nama Allah dan beberapa ayat ringkas seperti:
وَقُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنْ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا(111)
Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"
atau doa kepada ibu bapa:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنْ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا(24)
dan lain-lain.
Pengungkapan syahadat sebagai suatu proses pembangunan akhlak bergandingan dengan tujuh syarat yang mustahak dipenuhi seperti mana yang disebutkan oleh Saikh Yusuf al-Badri:
a) Ilmu yang menafikan kejahilan
b) Kecintaan kepada Allah yang menafikan kecintaan kepada yang lainnya
c) Keyakinan yang menafikan keraguan
d) Penerimaan yang menafikan penolakan
e) Kepatuhan yang menidakkan keingkaran
f) Keikhlasan yang menafikan kesyirikan
g) Kejujuran yang menafikan sifat mendustakan atau sekadar berlakon.
Pemantapan kalimah tauhid ini bermakna pendidikan membentuk pemikiran, perasaan serta penanaman nilai-nilai keimanan yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai 60 atau 70 lebih cabang dalam diri umat Islam. Sesungguhnya kesedaran manusia tentang kewujudan, kebesaran, kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t. tentunya akan menimbulkan keperihatinan yang tinggi terhadap arahan-arahanNya.
Dalam konteks yang sama, perkara utama yang perlu dilakukan oleh seorang muslim ialah memastikan dirinya bersih dari kekufuran atau tanda-tanda kekufuran kepada Allah dan Rasulnya; iaitu samada menafikan perkara-perkara asas agama, atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan syahadat. Kemudian, ia harus memastikan dirinya terlepas dari sifat-sifat kemunafikan, samada yang bersifat tanggapan mahupun yang bersifat amalan. Kemunafikan dalam tanggapan umpamanya, meyakini sesuatu yang bercanggah dengan hakikat Islam yang sebenar walhal lidahnya mengatakan ia menurut Islam yang sebenar. Kemunafikan dalam amalan ialah melakukan akhlak-akhlak orang yang munafik seperti tidak mematuhi janji, membiasakan diri dengan berdusta dan bersifat khianat. Ia hendaklah memastikan dirinya bersih daripada kefasikan atau penderhakaan kepada Allah. Tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Tidak menyalahi perintah Allah. Manusia muslim mesti menghindarkan diri dari segala kejahatan ; lahir dan batin.
Pembangunan akhlak bermula dengan perlaksanaan :
1- solat.
2- zakat dan infak.
3- puasa.
4- haji.
5- membaca al qur'an.
6- zikir.
7- memikirkan penciptaan allah.
8- mengingati mati dan memendekkan angan-angan.
9- muraqabah, muhasabah, mujahadah dan mu'atabah.
10- jihad, amal makruf dan nahi mungkar.
11- dedikasi dan bersifat tawadduk.
12- mengenali tipu daya syaitan terhadap manusia serta menangkis dan menutup laluannya.
13- mengenal jenis-jenis penyakit hati serta mengetahui cara-cara merawatnya.
Bagaimana Membangunkan Akhlak Umat Islam
Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak manusia memang boleh berkembang dan boleh dibentuk dengan berbagai cara. Antara cara-cara tersebut ialah melalui:
a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin
Pendidikan akhlak tidak hanya melalui penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :
"Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.
Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur'an pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan seseorang.
b- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang Soleh
Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohifigure yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.
Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman:
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Maksudnya :
"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."
Surah al 'Araf, ayat 58 :
Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah yang lurus. Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam masalah sosial yang tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang berkembang pesat dalam masyarakat yang dilanda oleh fenomena moral berkenaan.
c-Qudwah Hasanah
Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan mereka. Manusia yang berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis, seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah qudwah yang paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah hendaklah dipaparkan oleh golongan idola berkenaan. Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan contoh dan teladan yang terpuji agar dapat ditiru oleh generasi muda. Penghayatan golongan idola tersebut terhadap nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan zaman dahulu kala atau idealisme khayalan belaka; tetapi malah ianya suatu realiti yang tentunya boleh dicontohi dan direalisasi oleh generasi masa kini.
Allah SWT berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Bermaksud;
"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.
Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam
Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat.
umate- Kuasa Negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya
Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam masyarakat. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua hal.
Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa, sekolah, rakan sebaya, masjid atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita terangkan satu persatu peranan tersebut :
f - Peranan Media Massa
Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.
Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination dan imperialisme" melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.
g - Peranan Sekolah
Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain sekolah boleh :
1. Menggandakan keberkesanan institusi pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas.
2. Memperbaiki suasana persekolahan, mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau institusi.
3. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai, bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati ulama' dan sebagainya.
4. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.
Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka bergaul dengan mereka. Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam sanubari mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asuh agar tidak menjadi mata duitan.
Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di hadapan orang, tidak meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan cakap. Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab. Mereka harus dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika orang yang bercakap itu lebih tua daripadanya.
Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar. Justeru antara kaedah mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat. Selain dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk menyegarkan tubuh mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya patuh kepada ibu bapa, guru dan menghurmati mereka.
Selain dari latihan serta disiplin seperti di atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan tanggung jawab dengan cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan atau pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran batin biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan tindakan menghukum biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya; samada mereka golongan guru atau bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.
Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di dalam hati serta dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satu-satunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik, nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampu lagi untuk digunakan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud :
"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ( kerana enggan sembahyang ) apabila umur mereka sepuluh tahun". (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).
Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan fizikal dan sebagainya.
Firman Allah :
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu.
(Surah Ali Imran : ayat 159)
Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh dengan akhlak ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad kepada guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan seterusnya kepada sistem persekolahan keseluruhannya.
Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid malah ibubapa hendaklah sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan permuafakatan tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua pihak agar masing-masing melindungi dan mempertahankannya.
Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau punca dari mana datangnya permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu atau menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di usahakan dengan mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih positif. Ini di dasarkan kepada prinsip "mencegah lebih baik dari merawat".
Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan mengadakan kempen menyedarkan murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah, menerangkan tentang mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah dengan mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid, menghubung-kaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat mereka dan langkah-langkah yang lain.
h - Peranan rakan sebaya
Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan generasi yang lebih tua. Kajian yang dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya ( 1972 ) menunjukkan remaja menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang generasi( generation gap ) tersebut antara pemikiran mereka dan pemikiran ibubapa mereka.
Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki dan perempuan adalah :
1. kesukaran untuk membincangkan permasalahan mereka dengan para ibubapa mereka dan para penjaga mereka
2. kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan penjaga mereka mengenai apa yang mereka lakukan
3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan penjaga mereka.
Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa .
i - Peranan rumah ibadah
Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.
Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak . Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .
Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:
1. Kelas Fardu Ain
2. Kelas Tajuid & Qiraat.
3. Kelas Bimbingan Remaja.
4. Kelas Bahasa Arab.
5. Ceramah Berkala.
6. Seminar Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.
7. Kursus Rumahtangga Bahagia.
8. Kursus Pengurusan Jenazah.
9. Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.
10. Kursus Dakwah dan Imamah.
11. Acara Tadarus al-Quran.
12. Khemah Ibadan & Qiamullail.
13. Kursus Pengurusan Masjid.
14. Kegiatan Amar Ma'ruf & Nahi Munkar.
15. Seminar Pengurusan Sumber Masjid.
16. Kempin Memakmurkan Masjid.
17. Membentuk organisasi Belia Masjid ( Rakan Masjid )
Seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan berakhlak atau melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut dan sebagainya.
Rumusan
Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam, mempunyai kerohanian yang amat tinggi, mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak dan keluhuran akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah. Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela akhlak. Mereka melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang melindungi nilai dan norma akhlak dalam masyarakat.
Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku proses pertentangan antara kerja membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera berkenaan.
Agenda-agenda khusus menangani gejala keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan akan didaulatkan . Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta'at dan bukan hamba benda, wang, pembangunan, bangsa atau negara
Ulasan
Catat Ulasan